Saturday, May 16, 2015

SELAMAT HARI GURU


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pengunjung blog kami ^_^

"Guru Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak"

16 Mei 2015 bersamaan sambutan hari guru yang sama dengan israk mikraj bagi tahun ini. 
Tapi untuk entry kali ini saya ingin mencoretkan sedikit ucapan bersempena Hari Guru. Tema hari guru saban tahun bertukar dan pelbagai tema telah digunakan. Namun sajak karya Usman Awang tetap menjadi sajak terindah apabila ingin mengenang jasa seseorang insan yang bergelar guru. 


Sajak yang telah lama ditulis tapi masih kuat penangannya sehingga kini. Insan bergelar guru adalah seorang insan yang sangat dihormati sejak dahulu lagi dan jasa seorang guru tidak dapat dibalas dengan wang ringgit. Jika kita hitung ilmu yang dicurahkan oleh guru-guru yang pernah mendidik kita sejak kecil pasti ianya tidak terhitung. Oleh itu, di kesempatan ini juga kami ingin mengucapkan selamat hari guru kepada semua warga pendidik dan "terima kasih cikgu". Semoga kami juga dapat menjadi guru yang berjaya seperti cikgu suatu hari nanti. InsyaAllah..


~Guru Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak~





Slide Kumpulan 12

Slide Kumpulan 11

Perisian yang sesuai digunakan untuk pentaksiran

Hari ni kami nak bercerita tentang satu program percuma yang dapat menghasilkan latihan interaktif secara komputer jika ia digunakan untuk tujuan bukan komersial (Hot Potatoes, 2008). perisian tersebut dikenali sebagai Hot Potatoes. Perisian HotPotatoes membolehkan anda membangunkan siri latihan web interaktif yang boleh dilaksanakan menerusi browser internet secara online. Perisian ini juga boleh digunakan secara off-line iaitu dengan memuat turun dan "install" dalam komputer anda. Untuk memuat turun, anda boleh klik di sini

Perisian ini menggunakan HTML dan JavaSript bagi tujuan interaktiviti namun anda tidak perlu langsung mengetahuinya untuk menggunakan perisian ini. Apa yang perlu hanyalah, anda memasukkan data-data latihan (soalan-soalan, jawapan, maklumbalas dan sebagainya) dan menekan butang tertentu. Oleh itu, perisian ini sangat sesuai untuk digunakan sebagai salah satu kaedah pentaksiran dalam bilik darjah.

Untuk maklumat lanjut, tengok sini.


Untuk mengetahui cara-cara untuk menggunakan perisian ini, anda boleh merujuk slide di bawah.

Monday, May 4, 2015

Program RUNNING MATH bertemakan 'Semarak Kasih'

Assalamualaikum dan salam sejahtera to all readers!

Haa..hari ni nak bercerita sikit pasal khidmat komuniti yang kami dah jalankan. Alkisahnya nama program ini adalah "RUNNING MATH". ala-ala running man gitu..hehee. tapi bukan ea..ini adalah program kami yang bertemakan 'Semarak Kasih' dan ianya dijalankan bersama-sama penghuni di Rumah Tunas Harapan Tengku Ampuan Rahimah, Kuala Selangor.


Bergambar di pintu pagar utama Rumah Tunas Harapan (RTH)

Haa.. nila model-model tak berbayar pintu depan RTH. haha.. gambar aktiviti bersama anak-anak RTH tidak dapat di paparkan bagi menghormati syarat yang dikenakan kepada kami. Oleh itu, saya akan selitkan sikit sahaja gambar jejak kami di sana.

Okay readers! Mesti ramai yang dah tertanya-tanya kan? Apa aktiviti yang kami buat? Nama pun ada macam lari-lari kan.. okay! Mari kita dengar cerita daripada awal. Bagi bahagian persediaan kami daripada pihak penganjur bermula dari pelantikan ahli jawatankuasa sehinggalah sebelum pendaftaran peserta..tidak dinafikan yang kami juga seperti pihak penganjur yang lain iaitu walaupun kita merancang dengan sebaiknya namun rintangannya tetap ada..Walaubagaimanapun berkat kerjasama daripada semua ahli kelas kami yang saling membantu antara satu sama lain maka ianya berjaya di atasi.

Tanggal 25 April 2015 iaitu hari Sabtu dengan memakai baju berwarna hijau, kami tiba di RTH tepat jam 8.30 pagi. Ketibaan kami disana di sambut dengan mesra oleh ibu bapa pelihara atau penjaga penghuni RTH dan pihak pentadbir RTH itu sendiri. Malah seluruh warga RTH sangat mengalu-alukan kedatangan kami ke sana. Gelagat anak-anak RTH yang awalnya malu-malu kucing mencuit hati kami. Setelah mengangkat semua peralatan yang dibawa turun daripada bas, kami mendengar taklimat ringkas oleh pihak pentadbiran RTH bagi memastikan program ini berjalan dengan jayanya.

Kemudian, sesi pendaftaran dilakukan di belakang dewan untuk memudahkan pembentukan kumpulan dalam kalangan mereka. Gelagat yang pada awalnya malu-malu kucing kian pudar. Anak-anak RTH juga sama seperti anak-anak kecil yang lain. Mereka kelihatan teruja untuk melakukan aktiviti bersama kami. Akak-akak fasilitator pun tidak kurang semangatnya. Ada yang sibuk memberi dan mendengar taklimat dan ada yang sibuk mencari atau memilih checkpoint yang sesuai. Eh? Checkpoint?? haa..sebab kita ada aktiviti Explorace Math!


Sesi Pendaftaran

Bergambar di Checkpoint 10

Fasilitator bergambar sebelum explorace bermula.

Usai sahaja sesi pendaftaran peserta, semua penjaga checkpoint sudah bergerak ke destinasi masing-masing bagi membuat persediaan awal. Manakala aktiviti dalam dewan pula di ambil alih oleh AJK Ativiti bagi sesi pembahagian kumpulan. Setiap kumpulan mempunyai seorang fasilitator bagi membantu mereka melakukan aktiviti sepanjang program berlangsung. Mereka juga dibekalkan dengan kertas mahjong dan alat tulis untuk menghasilkan logo, nama kumpulan dan sorakan kumpulan.

Anak-anak RTH cukup aktif semasa melakukan aktiviti di dalam dewan begitu juga dengan aktiviti luar dewan iaitu aktiviti Explorace Math! Selepas minum pagi, aktiviti Explorace Math dimulakan serentak bagi semua kumpulan. Gelagat mereka sangat mencuit hati bagi sesiapa sahaja yang melihatnya. Masakan tidak, ahli kumpulan yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur merupakan satu cabaran buat mereka. Setiap tugasan di setiap checkpoint memerlukan kerjasama ahli kumpulan. Malah kami terhibur dengan teletah mereka yang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan tugasan yang diberi bersama ahli kumpulan masing-masing. Keakraban persaudaraan antara mereka dapat dilihat apabila masing-masing saling membantu antara satu sama lain.

Selepas itu, mereka diminta berkumpul dan berehat di dalam dewan sementara menunggu makan tengah hari. Namun, ada kejutan daripada pihak penganjur buat penghuni RTH.


Menyambut Ulang Tahun Kelahiran anak-anak RTH.

Fasilitator turut serta makan Nasi Ambeng dalam talam secara berkumpulan.

Nampak tak kek yang besar depan kami tu? haa.. ini lah kejutan kami buat penghuni RTH yang menyambut hari jadi pada bulan April. Selepas membaca doa makan, kami makan bersama-sama dengan menu nasi ambeng dan air sirap serta buah epal. Keistimewaan makan tengah hari  kali ini juga adalah dengan duduk dalam bulatan dan makan di dalam dulang atau talam. Kami berhenti rehat sehingga jam 2 petang dan di sambung kembali dengan acara sukaneka dewan.

Acara sukaneka dewan yang terdiri daripada 3 aktiviti iaitu baling selipar/kasut ke dalam baldi, bowling botol dan rakit kasih sayang. Akitiviti ini juga diselitkan dengan beberapa energizer seperti senaman tomy dan tepuk break.

Selesai sahaja sukaneka dewan, kami bersama-sama mengemas dewan bagi majlis penutupan. Malah, sementara menunggu tetamu VIP tiba, kami dijamukan dengan hidangan nasi lemak dan air teh untuk minum petang. Majlis penutup berjalan dengan lancar dengan dihadiri oleh Timbalan Pengerusi RTH iaitu Puan Hajjah Samsiah binti Mokhtar dan Setiausaha Kerja RTH, Puan Sitirani binti Abdul Wahab serta pensyarah jemputan dari UPSI, Dr Nor Zila binti Abd Hamid bagi mewakili Penasihat Program kami iaitu Dr Mazlini binti Adnan yang tidak dapat hadir atas sebab tertentu.

Sesi membersihkan kawasan sekitar.

Selepas tamat majlis penutup, kami mengemas semua peralatan yang digunakan, menyapu dan mengemop lantai yang basah serta membuang sampah pada tempat yang sepatutnya bagi memastikan kawasan yang digunakan bersih seperti sedia kala.

Gambar Ahli Jawatankuasa Pelaksana Program Running Math

Antara wajah-wajah ceria sebahagian AJK pelaksana setelah program selesai

Tabik spring buat semua yang membantu dalam menjayakan program ini secara langsung atau tidak langsung. Walaupun penat, namun kami berasa gembira dan berpuas hati kerana dapat menambah ilmu dan menjalinkan ukhuwah yang baik dengan seluruh warga RTH. Terima kasih tak terhingga diucapkan kepada warga RTH yang sudi menerima kami bagi melaksanakan Program Running Math yang bertemakan Semarak Kasih dengan jayanya. Maaf dipinta daripada pihak kami di atas segala kekurangan dan kelemahan dalam menjayakan program ini.

Thanks to readers sebab sudi baca. hehehe ^_^

-TAMAT-

Slide Kumpulan 8

Slide Kumpulan 7

Slide Kumpulan 5

Slide Kumpulan 4




MAKLUMAT RINGKAS TENTANG PROGRAMME INTERNATIONAL STUDENT ASSESSMENT (PISA)...


1. Objektif

  • Menguji penggunaan pengetahuan dan kemahiran praktikal berdasarkan kepada pendapat bahawa perolehan literasi adalah proses pembelajaran sepanjang hayat
  • Mengukur real-life skills yang berkaitan dengan bacaan, matematik dan sains dengan fokus kepada kehidupan seharian dan dalam bidang di mana sains digunakan seperti kesihatan, bumi dan persekitaran, dan teknologi
  • Menyediakan perbandingan dalam sistem dan antara negara yang mengambil bahagian


2. Stakeholders

  • Dibangunkan oleh Organisation for Economic Cooperation and Development (OECD)
  • Sasaran : Murid berumur 15 tahun dan ke atas
  • Negara peserta : 34 buah negara OECD dan 41 buah negara bukan OECD pada tahun 2009


3. Kandungan Penilaian

  • Tiga bidang : Bacaan, matematik dan sains
  • Penekanan kepada keberkesanan aplikasi kurikulum
  • Maklumat sikap murid dan pendekatan kepada pembelajaran dan organisasi persekolahan


4. Kaedah

  • Bermula pada tahun 2000
  • Setiap tiga tahun sekali
  • Fokus bertukar antara bacaan, matematik dan sains dalam setiap pusingan kajian (Fokus dalam PISA 2009 ialah kepada bacaan)

Slide Kumpulan 3




MAKLUMAT RINGKAS TENTANG TRENDS IN INTERNATIONAL MATHEMATICS AND SCIENCES STUDY (TIMSS)...

1. Objektif

  • Mengukur keupayaan murid dari segi apa yang hendak diajar, apa yang sebenarnya diajar dan apa yang sebenarnya dipelajari
  • Menambah baik pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains
  • Menganalisis faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian murid
  • Menyediakan data tentang trend dalam pencapaian matematik dan sains


2. Stakeholders

  • Dibangunkan oleh International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA)
  • Sasaran : Murid gred 4 (Tahun 4) dan gred 8 (Tingkatan 2)
  • Negara peserta : 49 buah negara dan wilayah pada tahun 2007  


3. Kandungan Penilaian

  • Dua bidang : Matematik dan sains
  • Penekanan kepada isi kandungan kurikulum
  • Maklumat tentang kuantiti, kualiti dan kandungan pengajaran (contoh : kesediaan guru, sumber sedia ada dan penggunaan teknologi)


4. Kaedah

  • Bermula pada tahun 1995
  • Setiap empat tahun sekali
  • Sentiasa berfokus kepada isi kandungan kurikulum

Slide Kumpulan 2

Slide Kumpulan 1





JURANG PENCAPAIAN MATEMATIK MURID SEKOLAH RENDAH


"The achievement gap in education refers to the disparity in academic performance between group of students. The achievement gap shows up in grades, standardized-test scores, course selection, dropout rates, and college-completion rates, among other success measures."
~ Education Week Magazine ~


Dari segi lokaliti :

Lokaliti membawa maksud penempatan. Jurang pencapaian matematik murid sekolah rendah dari segi lokaliti boleh diperhatikan melalui perbandingan antara sekolah bandar dengan sekolah luar bandar. Pencapaian matematik UPSR pada tahun 2005 hingga 2008 memberikan gambaran bahawa peratus murid mendapat gred A, B, dan C di sekolah bandar adalah lebih tinggi daripada di sekolah luar bandar. Jurang pencapaian matematik antara murid sekolah bandar dengan murid sekolah luar bandar disebabkan oleh kelengkapan akses kepada maklumat dan kemudahan infrastruktur yang berbeza. Sekolah luar bandar mempunyai kekurangan dari segi akses yang terhad kepada maklumat dan kekurangan kemudahan infrastruktur berbanding sekolah bandar.

Dari segi sosial :

Jurang pencapaian matematik murid sekolah rendah dari segi sosial boleh dilihat melalui perbezaan jantina, status ekonomi, hubungan kekeluargaan dan konsep kendiri. Kajian berkaitan pengaruh jantina terhadap pencapaian menunjukkan bahawa pelajar perempuan telah mendapat pencapaian akademik cemerlang tanpa dipengaruhi oleh jenis latar belakang keluarga dan golongan ini bertekad untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Selain itu, ibu bapa yang berpendidikan tinggi mempunyai anak-anak yang mendapat pencapaian akademik yang tinggi juga dan sebaliknya. Namun, terdapat juga pengecualian dalam kes ini di mana ibu bapa yang berpendapatan tinggi mempunyai anak-anak yang mendapat pencapaian akademik yang tinggi dan sebaliknya. Bukan itu sahaja, status sosioekonomi keluarga turut mempunyai hubungan yang positif dengan pencapaian akademik. Seterusnya, kajian telah membuktikan bahawa konsep kendiri akademik dan pencapaian akademik berhubung secara signifikan.

Dari segi budaya

Jurang pencapaian matematik murid sekolah rendah dari segi budaya boleh dilihat berdasarkan budaya di sekolah dan di rumah. Budaya formal di sekolah merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi proses pengajaran dan pembelajaran murid. Bolehlah dikatakan bahawa budaya formal sekolah berdasarkan aspek fizikal, sosial dan budaya ilmu memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pencapaian akademik pelajar. Selain itu, kekayaan dan sokongan keluarga yang positif dalam memberi motivasi dan inspirasi dalam kalangan kanak-kanak sekolah. Faktor-faktor keluarga yang mempengaruhi pencapaian anak-anak iaitu, interaksi lisan antara ibu bapa dengan anak, ekpetasi ibu bapa dalam soal pencapaian, hubungan yang berkesan antara antara ibu bapa dengan anak-anak, kepercayaan terhadap keupayaan anak-anak serta kawalan strategik dan disiplin dalam keluarga (Hess dan Holloway, 1984).

Sunday, May 3, 2015

SLIDE PERBENTANGAN ISU PENTAKSIRAN MATEMATIK YANG DILAKSANAKAN DI SEKOLAH

PERBEZAAN ANTARA PENGUJIAN, PENGUKURAN DAN PENILAIAN.

Kejayaan sesuatu sistem pendidikan dinilai melalui tahap pembelajaran dan perkembangan pelajar semasa mereka melalui sistem tersebut (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013a). Pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah dan bilik darjah merupakan komponen yang paling sesuai untuk menguji tahap pembelajaran dan perkembangan pelajar. Pentaksiran dijalankan untuk mengetahui kekuatan dan kelemahan pelajar secara berterusan (Noor Azreen dan Sulaiman, 2013a).
     Pengertian istilah pentaksiran atau assessment adalah berasal daripada perkataan Greek “Assidere”  iaitu bermaksud “duduk di sisi” (Jamil, 2011). Pentaksiran ialah pelbagai prosedur untuk mendapatkan informasi tentang tahap prestasi seseorang pelajar (Azman, 2014). Airasian (2004) menyatakan bahawa pentaksiran adalah pengumpulan, sintesis dan interpretasi maklumat di mana pengujian, pengukuran dan penilaian memainkan peranan untuk membantu guru dalam membuat keputusan pembelajaran.
     Penilaian, pengukuran dan pengujian merupakan komponen-komponen penting dalam pentaksiran. Secara khususnya, ketiga-tiga istilah ini mempunyai makna yang lebih spesifik dan mempunyai perbezaan antara satu sama lain.
     Pengujian mempunyai maksud yang lebih sempit dan khusus. Nordin (2011a) menyatakan bahawa pengujian adalah prosedur yang sistematik untuk mengukur tingkah laku seseorang terhadap pembelajarannya. Menurut Hart (1994), ujian merupakan alat pengukuran untuk mentaksir dan merekod pembelajaran pelajar. Pengujian adalah cara yang biasa digunakan untuk mendapatkan maklumat tentang pencapaian pelajar.
     Manakala pengukuran mempunyai maksud yang lebih luas daripada pengujian. Pengukuran ialah suatu proses di mana kita memperolehi huraian secara perangkaan tentang sesuatu ciri yang dimiliki oleh seseorang individu (Azman, 2014a).  Nordin (2011b) menyatakan bahawa pengukuran adalah satu proses untuk menghasilkan nilai kuantitatif untuk menentukan peringkat pencapaian dan kedudukan pelalajar dalam pembelajaran.
  Penilaian pula adalah proses memperolehi maklumat dan menggunakannya untuk membuat pentafsiran dan keputusan (Nordin, 2011c). Menurut Azman (2014b), dalam bilik darjah, penilaian merupakan suatu proses yang sistematik untuk menentukan sejauh mana objektif pengajaran dapat dicapai oleh murid. Secara ringkasnya, penilaian merangkumi tugas menguji dan mengukur.
    Sebagai contoh, guru menjalankan ujian bertulis untuk menguji pelajar. Manakala proses mengukur pencapaian dilakukan apabila guru memberi markah 72% dan gred B kepada seorang pelajar. Proses menilai pula berlaku apabila guru memberitahu pelajar tersebut bahawa usahanya baik dan mendapat keputusan yang cemerlang.  


Sunday, April 12, 2015

ISU PENTAKSIRAN MATEMATIK YANG DILAKSANAKAN DI SEKOLAH

1.0       PENGENALAN
Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang giat membangun ke arah mencapai Wawasan 2020. Pelbagai usaha telah dijalankan bagi memperbaiki, mengekalkan dan meningkatkan kemajuan seiring dengan perkembangan dunia pada masa kini terutama dalam sistem pendidikan negara. Pendidikan berperanan dalam membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri, berketrampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Modal insan yang ingin dilahirkan ini juga berupaya untuk berfikir secara kreatif dan kristis, berkemahiran menyelesaikan masalah dan mempunyai ketahanan serta kebolehan untuk berhadapan dengan cabaran dunia global yang sering berubah-ubah mengikut peredaran zaman. Oleh itu, pentaksiran dalam pendidikan juga sering berubah-ubah mengikut keadaan semasa bagi merealisasikan pembentukan modal insan sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

            Menurut Dunn (1991), pentaksiran ialah satu proses pengumpulan maklumat oleh guru tentang pelajarnya dan oleh pelajar sendiri tentang kemajuan mereka. Manakala Lembaga Peperiksaan Malaysia (2000) menyatakan pentaksiran adalah satu proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menterjemahkan maklumat tentang pembelajaran seseorang murid bagi sesuatu tujuan tertentu. Secara ringkasnya menurut Noraini Idris (2005), pentaksiran dirancang dan dikendalikan oleh guru dan menjadi sebahagian daripada proses pengajaran yang diharapkan dapat memperbaiki proses pembelajaran pelajar. Pentaksiran juga terbahagi kepada tiga bahagian iaitu penilaian, pengukuran dan pengujian.
            Abdul Rashid Johar dan Siti Rahayah Ariffin (2001) menyatakan pengujian ialah satu cara sistematik untuk mengukur sebahagian perubahan tingkah laku seseorang individu berhubung dengan aspek pendidikan dan psikologi. Manakala pengukuran menurut Hilezan (2014) ialah proses menghasilkan nilai kuantitatif kepada pelajar berdasarkan peranan tertentu (seperti gred dan peratus) untuk mengukur peringkat pencapaian bagi menentukan kedudukan prestasi pelajar. Penilaian menurut Gronlund (1993) ialah satu proses sistematik untuk menentukan sejauh mana objektif pengajaran telah dicapai oleh pelajar. Kesimpulannya perubahan atau pembaharuan dalam pentaksiran adalah bagi memastikan pembetukan modal insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

2.0       TUJUAN PENTAKSIRAN
Pentaksiran sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) mendatangkan pelbagai impak kepada guru dan juga pelajar. Salah satu tujuan pentaksiran diwujudkan adalah bagi mengumpul maklumat. Maklumat yang dikumpul ialah dari segi tahap kefahaman pelajar dan mendapat maklum balas perkembangan proses PdP sama ada ianya positif atau negatif. Melalui maklum balas ini guru dapat menilai sejauh mana keberkesanan PdP yang dijalankan di dalam kelas. Hasil maklumat yang diperoleh ini digunakan bagi memperbaiki kelemahan daripada kedua-dua belah pihak iaitu pelajar dan guru.
Selain itu, pentaksiran juga bertujuan untuk menilai pencapaian pelajar bagi memberi pengiktirafan kejayaan dan menentukan sama ada pembelajaran telah berlaku ataupun tidak. Kesediaan pelajar untuk mempelajari topik baharu juga dapat dinilai dengan adanya pentaksiran dan guru dapat mengenal pasti kelemahan pelajar dengan lebih mudah. Malah pelajar dapat memberi maklum balas tentang kemajuan mereka dan ianya dapat membantu guru membuat tindakan susulan bagi memperbaiki proses PdP. Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia (2000), tujuan utama pentaksiran matematik adalah untuk menambahbaik pengajaran dan pembelajaran matematik. Oleh itu, wajarlah sistem pentaksiran sering diubah mengikut kesesuaian kebolehan pelajar bagi meningkatkan mutu dalam PdP.
3.0       ISU PENTAKSIRAN MATEMATIK YANG DILAKSANAKAN DI SEKOLAH
Matlamat Malaysia untuk melahirkan modal insan yang kreatif dan kritis sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan membawa kepada perubahan dalam pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah. Perubahan dalam pelaksanaan pentaksiran matematik di sekolah telah menimbulkan pelbagai isu dari semasa ke semasa antaranya bias dalam pentaksiran, pentaksiran yang berorientasikan peperiksaan dan isu berkaitan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
3.1       BIAS DALAM PENILAIAN
Isu yang pertama ialah bias dalam penilaian. Menurut Hambleton, Ronald dan Janne(1995), bias adalah kewujudan kriteria-kriteria tertentu dalam memberi kesan yang berbeza terhadap pencapaian individu dengan kebolehan yang sama dari kumpulan, etnik, jantina ,budaya dan agama yang berbeza. Oleh itu, bias dalam penilaian dapat disimpulkan sebagai ketidakadilan yang wujud dalam sesuatu penilaian.
Antara aspek yang dapat dilihat kewujudan bias dalam penilaian ialah item soalan ujian, penilaian melalui pemerhatian, penilaian melalui penulisan dan penilaian secara lisan. Aspek yang pertama ialah bias dalam item soalan ujian. Menurut Black (1998), pengujian yang menggunakan soalan yang berkaitan dengan permainan mekanikal lebih cenderung kepada pelajar lelaki manakala set yang menggunakan contoh dan situasi daripada anak patung atau kerja-kerja dapur lebih cenderung kepada pelajar perempuan. Kajian TIMSS-R (1998) pula menyatakan item-item matematik yang berbentuk ayat panjang memerlukan calon membaca dan memahami maksud lebih memihak kepada pelajar perempuan. Manakala item-item yang memerlukan kupayaan ‘visualization’ lebih kepada pelajar lelaki. Oleh itu, pemilihan item soalan ujian dalam bilik darjah haruslah seimbang dan tidak mendatangkan bias.
Aspek yang kedua ialah bias dalam penilaian melalui pemerhatian. Pemerhatian hasil kerja, tingkah laku, komunikasi dan interaksi pelajar adalah antara perkara yang sering dinilai oleh guru melalui mata kasar. Namun begitu, persepsi guru terhadap pelajar menyebabkan bias berlaku dalam penilaian melalui pemerhatian. Persepsi guru akan mempengaruhi cara penilaian atau pemarkahan dan mata kasar guru hanyalah pandangan luaran sahaja yang tidak dapat membuktikan atau menyatakan keadaan sebenar pelajar. Penilaian yang di buat hanya dengan mata kasar menyukarkan guru untuk menilai tahap kefahaman sebenar pelajar.
Di samping itu, persepsi guru terhadap pelajar juga menimbulkan bias dalam penilaian melalui penulisan. Penilaian melalui penulisan adalah satu proses yang melibatkan aktiviti menyemak tugasan bertulis. Penilaian ini dianggap sebagai satu medium yang boleh dipercayai dalam menilai pelajar kerana mempunyai hasil atau produk yang dapat di lihat oleh guru. Namun begitu, pemarkahan penulisan adalah bergantung kepada kebolehpercayaan seseorang guru untuk menilai secara adil ataupun tidak. Oleh itu, guru tidak seharusnya mengamalkan sikap bias kerana ianya dianggap tidak professional dan perlu mengambil inisiatif untuk mengatasinya jika bersikap bias dalam penilaian.
Selain itu, aspek yang seterusnya ialah bias dalam penilaian secara lisan. Penilaian secara lisan adalah satu proses untuk mengumpul maklumat semasa interaksi dalam PdP. Ianya bertujuan untuk mengetahui pemahaman dan penguasaan pelajar secara serta merta. Kebiasaannya guru menganggap pelajar yang mengalami kesukaran dalam berbahasa tidak mencapai tahap pemahaman yang baik dalam sesuatu konsep walhal ianya berpunca daripada kelemahan pelajar dalam berbahasa dan tidak mempengaruhi pemahaman pelajar. Malah pelajar juga gagal berkomunikasi dengan baik dalam penilaian lisan kerana ketakutan mereka terhadap guru seterusnya mengakibatkan pelajar kurang berani menyuarakan pendapat mereka.

3.2       PENTAKSIRAN BERORIENTASIKAN PEPERIKSAAN
Pentaksiran tradisional yang berbentuk pensil dan kertas (ujian bertulis) tidak lagi sesuai dilaksanakan pada masa kini kerana ianya digunakan untuk menguji bidang secara meluas dan tidak holistik. Menurut Begum & Farooqui (2008), sistem pentaksiran pada masa kini berpandukan kurikulum yang hanya mencakupi kebolehan pelajar mengingat dan kemahiran menghafal semata-mata. Manakala Moore (2003) pula menyatakan pentaksiran tradisional gagal kerana tidak mengambil kira tentang pencapaian secara holistik dan bagaimana pelajar berupaya bekerja secara berkumpulan.


            Pentaksiran tradisional yang bersifat terlalu berorientasikan peperiksaan banyak memberi impak yang buruk kepada guru mahupun pelajar. Tekanan kepada guru semakin bertambah apabila terburu-buru untuk menghabiskan silibus mata pelajaran dalam tempoh yang ditetapkan dan mengakibatkan guru kurang memberi penekanan terhadap perkaitan pembelajaran dengan kehidupan seharian. Mata pelajaran matematik memerlukan pelajar memahami konsep matematik bagi menjawab sesuatu soalan. Namun begitu, pelajar lebih cenderung menggunakan teknik hafalan atau mengingat rumus matematik semata-mata bagi menjawab soalan peperiksaan kerana bimbang jika gagal mendapatkan A dalam subjek tersebut. Oleh itu, pelajar tidak lagi dapat menghayati proses PdP dengan baik dan segala apa yang dipelajari adalah bersifat ingatan jangka pendek.

Menurut Zaleha Ismail & Arinah Zaidan (2010), sistem persekolahan zaman sekarang berasaskan peperiksaan di mana pembelajaran terlalu menumpukan kepada pengiraan dan penggunaan rumus manakala kaedah pembelajaran terbatas kepada latih tubi. Namun begitu, proses PdP seperti ini tidak dapat menggalakkan pelajar untuk mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat. Wang (2004) dalam kajiannya menyatakan pelajar seolah-olah dibentuk melalui mesin di mana guru hanya memberi penekanan kepada produk akhir dan mengabaikan proses pembelajaran pelajar. Penekanan kepada produk akhir ini lama kelamaan memudarkan keseronokan pelajar untuk belajar dan asas pembelajaran juga turut hilang. Sikap pihak pentadbir mahupun guru yang terlalu menitikberatkan keputusan peperiksaan mengakibatkan pelajar yang berprestasi rendah seringkali diabaikan. Golongan ini akan hilang semangat untuk belajar dan menyebabkan sebahagian besar daripada mereka tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Selain itu, Dayang Khairunnisa Awang Batu dan Masliah Manching (2012) dalam kajian mereka menyatakan  penekanan pembelajaran lebih tertumpu kepada buku sebagai bahan rujukan kedua selepas guru. Penguasaan konsep banyak tertumpu kepada latih tubi menyebabkan ianya terhad untuk mengatasi masalah tertentu sahaja. Kaedah ini seolah-olah tidak disepadukan dengan dunia luar dan menjarakkan lagi pembelajaran dengan dunia realiti. Konsep hafalan yang diamalkan oleh pelajar akhirnya membuatkan mereka tidak mampu untuk menyelesaikan masalah kehidupan seharian kerana kurang mahir dalam mengaplikasikan pembelajaran. Oleh itu, secara tidak langsung sistem pendidikan yang sedia ada telah membazirkan banyak sumber pendidikan yang tidak relevan dalam pembentukan pelajar yang sanggup dan mampu menghadapai cabaran globalisasi pada abad ini.
3.3       PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)
Ekoran isu pentaksiran yang terlalu berorientasikan peperiksaan atau bersifat tradisional, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengambil inisiatif bagi mengubahnya kepada Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Namun, PBS yang dicadangkan ini adalah merupakan penambahbaikan kepada PBS yang telah sedia dilaksanakan dengan memperkenalkan pentaksiran merujuk standard prestasi dan direkod dalam Sistem Pengurusan PBS (SPPBS). PBS terdiri daripada empat aspek iaitu pentaksiran pusat, pentaksiran sekolah, pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum dan pentaksiran psikometrik. Pembaharuan dalam pentaksiran juga adalah disebabkan oleh penglibatan pelajar yang semakin berkurang dalam kokurikulum. Konsep PBS ialah pengurangan peperiksaan dan tertumpu kepada peningkatan kemahiran dan kreativiti pelajar serta bersifat holistik.
            PBS mula dilaksanakan secara rasmi pada 1 Januari 2011 bagi pelajar tahun satu dan tahun 2012 bagi pelajar tingkatan satu. Kaedah pelaksanaan PBS adalah berdasarkan standard prestasi iaitu pencapaian atau penguasaan individu dalam sesuatu bidang yang telah dilalui dalam satu tempoh pembelajaran berdasarkan satu penanda aras yang dikenalpasti. Namun begitu, timbul beberapa isu lain sejak pelaksanaan PBS seperti ketidakyakinan guru dalam pentaksiran, ketidaksungguhan guru dalam pentaksiran, amalan birokrasi dalam pentaksiran dan permasalahan guru sepanjang melaksanaakan PBS.
            Menurut Noorzeliana binti Idris, Norazilawati binti Abdullah dan Saniah binti Sembak (2014), walaupun guru-guru telah mengikuti kursus tetapi mereka tetap merasa kurang yakin dalam mentaksir pelajar kerana kekurangan pengetahuan, kemahiran dan sumber material. Malah sikap campur tangan ibu bapa dalam mempersoalkan kredibiliti guru menilai anak-anak mereka mengurangkan lagi keyakinan guru. Guru juga kurang memahami cara pelaksanaan pentaksiran dan mengalami kesukaran untuk membina instrumen pentaksiran yang pelbagai bentuk. Bahkan sikap guru yang tidak bersungguh-sungguh dalam pelaksanaan PBS juga telah menjadikan sistem pentaksiran yang diperbaharui ini menjadi pincang. Kajian Tan Ai Mei (2010) menyatakan guru tidak bersungguh dan leka dalam melakukan pentaksiran. Kenyataan ini disokong oleh kajian Chan (2009) yang mendapati 25 peratus guru mengatakan tiada pemantauan daripada pihak pentadbir dan tiada kerjasama dengan guru senior serta pihak pentadbir juga tidak menghiraukan pelaksanaan PBS. Di samping itu, amalan birokrasi dalam pentaksiran telah memburukkan lagi keadaan. Tan Ai Mei (2010) dalam kajiannya menyatakan guru diminta secara am memberikan gred yang baik kepada pelajar. Manakala Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mahupun Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) ada membuat pemantauan tetapi hanya secara bertulis iaitu memeriksa laporan-laporan yang telah difailkan. Pemantauan yang hanya berfokus kepada laporan bertulis telah mewujudkan isu mengenai akauntabiliti penilaian berkenaan.
Selain itu, pelbagai permasalahan guru timbul sepanjang pelaksanaan PBS. Guru merupakan individu yang penting dalam menjalankan PBS kerana merekalah yang akan menjalankan atau mengendalikan PBS. Kurang pemahaman tentang pelaksanaan dan konsep PBS serta persepsi guru terhadap PBS telah menimbulkan rungutan bagi para guru tentang pelaksanaan PBS yang dikatakan agak terburu-buru. Terdapat segelintir guru yang menganggap PBS sebagai beban kepada mereka. Persepsi guru ini disokong oleh Gan (2000) yang menyatakan bahawa kebanyakan guru merasakan perubahan pendidikan telah  meningkatkan beban kerja mereka. Tan (2010) juga menyatakan tugas guru bukan sahaja perlu mengajar tetapi juga melakukan kerja-kerja pentadbiran dan kokurikulum telah bertambah apabila perlu mentaksir dalam masa yang sama.

Kajian secara ‘online’ yang dijalankan oleh KPM untuk melihat persetujuan guru dalam pelaksanaan PBS mendapati hampir 75 peratus guru setuju ia dihapuskan. Oleh itu, pada 11 Februari 2014, PBS diberhentikan seketika bagi penilaian semula. Namun begitu, pada 1 April 2014, KPM menjalankan semula PBS dengan mengumumkan tiga penambahbaikan pada PBS iaitu dokumen standard prestasi ditukar kepada Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid (PPPM), SPPBS adalah secara ‘offline’ dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Malah melalui penambahbaikan ini guru tidak lagi perlu menyediakan Fail Perkembangan Murid (FPM) dan melengkapkan Rekod Transit yang tidak jelas sehingga mengganggu tugas mengajar dan  perekodan perkembangan pembelajaran murid boleh dilakukan mengikut kesesuaian masa guru selepas ini.

Kemerosotan pencapaian pelajar dalam Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Programme for International Student Assesment (PISA) telah menyebabkan PMR digantikan dengan PT3. PT3 merupakan pentaksiran sumatif yang setara di tingkatan tiga bagi menilai pencapaian akademik murid. Ini bermakna PT3 mentaksir aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai secara menyeluruh di peringkat menengah rendah (KPM, 2014). PT3 diwujudkan adalah bagi menggalakkan pelajar berfikir secara kreatif dan proaktif. Soalan PMR banyak menumpukan peperiksaan apabila pelajar hanya memilih jawapan yang betul atau tidak betul dengan pilihan yang diberikan. Sementara soalan PT3 dapat menggalakkan pelajar untuk berfikir secara kreatif dan kritis. Hal ini dapat   menilai tahap kebolehan pemikiran para pelajar. Namun begitu, pelaksanaaan PT3 juga dianggap terburu-buru oleh guru mahupun ibu bapa kerana ianya diperkenalkan pada bulan April 2014 dan terus dilaksanakan pengujiaannya pada bulan Oktober 2014.




4.0       KESIMPULAN

Konklusinya, terdapat tiga isu pentaksiran yang telah dikupas iaitu isu bias dalam penilaian, isu pentaksiran berorientasikan peperiksaan, dan isu berkaitan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Berdasarkan ketiga-tiga isu tersebut dapatlah disimpulkan bahawa pentaksiran adalah satu proses yang penting dalam dunia pendidikan amnya. Pihak sekolah dan ibu bapa dapat melihat tahap kebolehan, kekuatan dan kelemahan pelajar dengan adanya pentaksiran. Pentaksiran yang dilaksanakan haruslah merangkumi pelbagai aspek dan bersifat holistik. Oleh itu, guru yang merupakan golongan terpenting dalam mentaksir pelajar perlu mempunyai pengetahuan yang cukup dalam bidang pentaksiran dan kandungan subjek yang diajar. Guru haruslah teliti dalam menjalankan pentaksiran terhadap pelajar bagi memastikan tiada pelajar yang akan tercicir dalam pembelajaran. Pentaksiran yang berkualiti akan dapat menyumbangkan kepada pembentukan pelajar yang berkualiti dan berkemahiran dari semua aspek serta dapat membentu modal insan yang kreatif dan kristis.