Sunday, May 3, 2015

PERBEZAAN ANTARA PENGUJIAN, PENGUKURAN DAN PENILAIAN.

Kejayaan sesuatu sistem pendidikan dinilai melalui tahap pembelajaran dan perkembangan pelajar semasa mereka melalui sistem tersebut (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013a). Pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah dan bilik darjah merupakan komponen yang paling sesuai untuk menguji tahap pembelajaran dan perkembangan pelajar. Pentaksiran dijalankan untuk mengetahui kekuatan dan kelemahan pelajar secara berterusan (Noor Azreen dan Sulaiman, 2013a).
     Pengertian istilah pentaksiran atau assessment adalah berasal daripada perkataan Greek “Assidere”  iaitu bermaksud “duduk di sisi” (Jamil, 2011). Pentaksiran ialah pelbagai prosedur untuk mendapatkan informasi tentang tahap prestasi seseorang pelajar (Azman, 2014). Airasian (2004) menyatakan bahawa pentaksiran adalah pengumpulan, sintesis dan interpretasi maklumat di mana pengujian, pengukuran dan penilaian memainkan peranan untuk membantu guru dalam membuat keputusan pembelajaran.
     Penilaian, pengukuran dan pengujian merupakan komponen-komponen penting dalam pentaksiran. Secara khususnya, ketiga-tiga istilah ini mempunyai makna yang lebih spesifik dan mempunyai perbezaan antara satu sama lain.
     Pengujian mempunyai maksud yang lebih sempit dan khusus. Nordin (2011a) menyatakan bahawa pengujian adalah prosedur yang sistematik untuk mengukur tingkah laku seseorang terhadap pembelajarannya. Menurut Hart (1994), ujian merupakan alat pengukuran untuk mentaksir dan merekod pembelajaran pelajar. Pengujian adalah cara yang biasa digunakan untuk mendapatkan maklumat tentang pencapaian pelajar.
     Manakala pengukuran mempunyai maksud yang lebih luas daripada pengujian. Pengukuran ialah suatu proses di mana kita memperolehi huraian secara perangkaan tentang sesuatu ciri yang dimiliki oleh seseorang individu (Azman, 2014a).  Nordin (2011b) menyatakan bahawa pengukuran adalah satu proses untuk menghasilkan nilai kuantitatif untuk menentukan peringkat pencapaian dan kedudukan pelalajar dalam pembelajaran.
  Penilaian pula adalah proses memperolehi maklumat dan menggunakannya untuk membuat pentafsiran dan keputusan (Nordin, 2011c). Menurut Azman (2014b), dalam bilik darjah, penilaian merupakan suatu proses yang sistematik untuk menentukan sejauh mana objektif pengajaran dapat dicapai oleh murid. Secara ringkasnya, penilaian merangkumi tugas menguji dan mengukur.
    Sebagai contoh, guru menjalankan ujian bertulis untuk menguji pelajar. Manakala proses mengukur pencapaian dilakukan apabila guru memberi markah 72% dan gred B kepada seorang pelajar. Proses menilai pula berlaku apabila guru memberitahu pelajar tersebut bahawa usahanya baik dan mendapat keputusan yang cemerlang.  


No comments:

Post a Comment